Terdetik di hati untuk menulis entry ini selepas terbaca tentang cara kematian seorang penuntut UPSI 3 hari lalu. Arwah dikatakan terjatuh daripada bangunan, namun ada yang suspect dia terjun kerana menurut rakan-rakan arwah, arwah nampak murung ditambah dengan kelakuan pelik bercakap seorang diri yang menyebabkan ada yang berfikir arwah terlalu stress dan mengambil keputusan untuk terjun bagi menamatkan segala derita yang dilalui.
Pilu mendengarnya. Siapa yang tahu apa yang arwah lalui dalam kehidupannya? Mungkinkah arwah pada masa itu telah kehilangan kewarasan/akalnya sehinggakan tidak sedar kaki melangkah terjun dari bangunan tinggi yang pastinya kalau kita menggunakan minda yang sedar dan minda yang waras, kita akan tahu betapa sakit dan siksanya kesan terjatuh dari tempat tinggi seperti itu? Segala-galanya dalam pengetahuan ALLAH SWT yang begitu luas ilmuNya...
Eh kenapa aku emosional sangat ni? Kenalkah aku dengan arwah tu? Memang tak kenal, memang tak tahu anak siapa itu, kakak siapa, adik siapa, tapi aku rasa sangat kasihan kerana kalau betullah arwah mengalami stress sebelum meninggal, sebenarnya aku begitu memahami keadaan dan perasaannya ketika itu. Sangat faham.
Pernahkah anda merasa pengalaman dan perasaan begini ? - Suatu detik di suatu hari tiba-tiba anda terasa anda tahu nama sendiri, tapi macam tak kenal diri anda, anda tak tahu kenapa anda berada di tempat anda berada, dan anda tak tahu kenapa anda terasa seolah-olah dikurung di dalam sangkar transparent di satu kawasan yang sangat luas seluas mata memandang. Minda terasa seperti asing dan jammed! Anda pandang anak-anak tapi tiada apa-apa perasaan di situ, anda lihat ibu anda, sama. Tiada apa-apa perasaan langsung! Seolah-olah anda kenal mereka, tapi anda sebenarnya tak kenal langsung!
Atau...
Tiba-tiba anda terasa seperti diletakkan di negara yang sangat asing, keseorangan di dalam sebuah rumah besar yang kosong! Tiada manusia, tiada perabot, tiada jiran, tiada bunyi air, tiada apa-apa! Anda hanya boleh berdiri, walaupun boleh duduk, tapi anda tiada kudrat untuk duduk!
Pernahkah sesiapa terasa begitu? Kehilangan DIRI sendiri?
Ya, aku pernah. 5 jam aku kehilangan diri. Aku tidak dapat berfikir. Jammed. Aku boleh panggil anak-anakku, Umar, Danial, aku boleh panggil ibu mentuaku, Mak! Tapi...aku macam tak dapat nak kenal mereka. Aku terasa macam tergapai-gapai berjuang berseorangan mencari minda dan akalku.
Rupa-rupanya ketika itu, aku sedang 'sakit' yang doktor sebut "gangguan emosi".Kejadian berlaku sehari sebelum aku dijadualkan berjumpa dengan pakar psikologi. Tiba-tiba minda macam jammed, berdiri tak kena, duduk tak kena, ambil wuduk tak kena, nak solat pulak tak boleh waktu tu. Dengar Yasin tak kena, tidur tak kena, baring tak kena, bercakap tak kena, diam - lagi laa tak kena! Serba serbi tak kena. Takut I lost my mind betul-betul, aku capai kunci keta, kebetulan ada kakak yang baik dengan keluargaku berkunjung ke rumah mak mentua, aku panggil dia dan aku katakan padanya aku minta tolong dengan dia sangat2 - "saya perlu keluar sekejap, tolong temankan saya". Sebenarnya mak mentua aku sangat tidak setuju - macam mana dia nak setuju, keadaan badanku sangat lemah pada masa itu - selepas tiba-tiba terkena serangan jantung.
Berserabut gila fikiran aku masa tu. Syukur pada Allah, aku selamat pergi dan selamat juga kembali ke rumah. Tapi keserabutan tadi tu hanya berkurang 10% ketika itu. Masa tu dah pukul 4:30 petang. Aku bagitau mak mentuaku, "Mak, tolong temankan saya tidur". Aku tahu dia risau, dia ikut saja apa yang aku minta pada hari itu. Aku peluk kuat tangannya semasa berbaring di atas katil. Minda masih serabut. Segala zikir dan selawat - aku baca sejak mula terasa "pelik" tadi tu. Risau sangat2 - kenapa aku jadi begitu?
Suamiku pulang lewat pada hari itu lebih kurang jam 7:30 malam. Aku panggil dia, aku peluk dan aku ceritakan semua yang terbuku dan berserabut di dada. Dari segala hal yang ada...Dah lama aku tak nangis sungguh-sungguh. Last aku nangis masa arwah ayah meninggal - 7 tahun lalu! Mendengar luahan perasaanku, suamiku pada masa itu hanya melihat dengan mata yang kasihan, dan hanya mampu mengangguk dan mengiyakan.
Apa terjadi selepas itu?
Selepas sejam! menangis dan meluahkan perasaan, minda dan badanku aku terasa lega! 80% serabut tadi hilang! Perut mula terasa lapar, tekak mula terasa dahaga.
Bayangkanlah, betapa seseorang yang sedang di dalam keadaan stress AMAT AMAT AMAT memerlukan seseorang yang boleh dia bawa bercerita, yang boleh dia rasa percaya, yang boleh dia luahkan perasaan kecewa, terkilan, sedih, marah dan geramnya...Pelukan, sentuhan dan kata-kata yang sedap didengar perlu diucapkan kepada orang ini. Pokok pangkalnya, dia memerlukan seseorang. Selalulah bagi sokongan kepada kawan-kawan, adik, abang, kakak, suami, isteri kita yang nampak "murung sejak kebelakangan ini". Ubatnya adalah kasih sayang...itu sahaja. Cukup itu sahaja. Ubat, air penawar, bla bla bla - yang lain-lain tu sekadar backup.
JANGAN SESEKALI TINGGALKAN ORANG YANG KITA KASIH, YANG KITA SAYANG, YANG KITA AKAN RINDUI APABILA DIA TIADA, DALAM KEADAAN SEDIH DAN MURUNG. ia boleh membunuh!
No comments:
Post a Comment