Wednesday, April 11, 2012

BOYS N GIRLS - THIS IS MY PERSONAL SHOUT!

(Mood serious untuk entry kali ni)...

Aku pernah buat entry tentang apakah sebabnya aku namakan blog aku ni silentshout! Entry yang dibuat agak lamaaaa sebelum aku jatuh sakit akibat serangan jantung.

Ok, dalam entry aku tu, aku ada sebut tentang aku akan masukkan apa sahaja yang 'terasa' dihati untuk dipostkan. Tapi, mungkin tidak semuanya/tidak sepenuhnya perasaan aku diluahkan yang menyebabkan keadaan jiwa aku menjadi agak parah sehingga menyebabkan jantung aku tidak berdaya lagi menahan semua perasaan yang aku simpan itu...

Mengimbau kembali apa yang terjadi pada 12 12 2011 yang lalu (eh eh angka pada tarikh tu..agak unik kan, baru hari ni aku perasan tu..), hari masih pagi ketika aku terasa something yang tak kena dan perasaan aku yang agak 'pelik' pada hari tersebut. Memang ada debaran di dada yang membuatkan aku terasa agak 'mengah'.

Ketika serangan jantungku berlaku, hanya aku dan Umar sahaja yang berada di rumah mak, kebetulan minggu tu aku balik Merbok, dan kebetulan hari tu Sabtu. Mak dan K Midah akan ke pondok untuk mengaji, so memang tiada siapa yang tinggal kecuali aku dan anak-anak.

Aku rasa lebih kurang pukul 9:30 pg, ketika aku sedang membaca surat khabar di ruang tamu rumah, ketika Danial telah jauh di rumah bekas pengasuhnya dan ketika adik Umar sedang leka menyusun puzzle...Degupan jantungku terasa lebih laju dan lebih laju dan lebih laju. Aku mula berasa sangat tidak selesa, lalu aku bangun dan berjalan-jalan sehingga jauh ke halaman rumah mak. Pada masa tu aku berasakan yang dunia semakin gelap dan semakin gelap, tetapi degupan kuat jantungku terasa semakin hebat, seolah-olah ada sesuatu yang mengetuk-ngetuk di dadaku dengan kuat.

Sampai di hadapan pintu rumah, penglihatanku semakin kelam dan aku yang tak pernah mengalami pitam/pengsan sepanjang usiaku ini merasakan yang aku pasti akan pitam dalam masa beberapa minit sahaja lagi. Alhamdulillah, aku sempat capai telefon dan masih nampak nombor yang aku akan dail. Terus aku cari no telefon K Midah kerana aku dah pasti suamiku telah sampai di pejabat pada waktu-waktu begitu. "Ya Allah, aku dah tak ada masa ni", aku hanya nampak K Midah kerana jarak rumah mak dengan madrasah lebih dekat berbanding jarak rumah mak dengan tempat kerja suamiku. Degupan di dada pada masa itu telah menjadi terlalu kuat sehingga aku rasa terlalu sukar untuk bernafas. Aku terus call K Midah dan sampai sekarang aku masih ingat perbualan dengan K Midah pada masa itu kerana yang mampu aku lafazkan di saat itu adalah, "K Midah cepat balik, aku nak pengsan". Terdengar suara kelam kabutnya di telingaku, "Hang pasai apa, ok ka?" dan aku terus menjawab dengan sangat cepat "Jangan tanya, balik cepat, balik cepat!" Itu sahaja dialog pada masa tu. Aku cuba make it as short as possible sebab memang aku terasa sangat lemah, jantung berdegup dengan sangat kencang dan aku pasti akan pitam bila-bila masa sahaja.

Menunggu K Midah sampai di rumah bagaikan menunggu nyawa kedua, betul. Aku nampak kereta kancilnya yang memecut laju di hujung jalan ke rumah. Sampai sahaja, terus dia masuk ambil tudung dan beg aku.Keadaan aku pada masa itu sangat lemah, aku dah tak mampu nak bergerak lagi. Bekalan oksigen dah terasa macam tak ada langsung di dadaku. Aku sempat call suamiku, maybe this is our last chat since pressure di dada ini terasa begitu hebat.

Sampai di klinik kesihatan Merbok, aku diberi rawatan dan diminta berehat sekejap. Pada waktu itu, nafas terasa agak teratur berbanding sebelum itu. Lebih kurang 20 minit aku dirawat, aku dibenarkan balik. On the way balik tu, jantungku kembali menendang-nendang dadaku. Sebaik sampai di rumah, kami berpatah balik untuk ambik mak di madrasah dan pada masa tu suamiku menelefon dan dia minta K Midah bawa aku ke hospital. Subhanallah! Jarak masa 30 minit dari kampung ke hospital terasa sangat menyeksakan, terasa sangat jauh, terasa dah tiada harapan! Terbayang wajah arwah Soby, rakan pensyarah yang baru berusia 34 tahun, yang 2 minggu sebelum itu meninggal secara tiba-tiba - disyaki akibat serangan jantung. Oh, tidak! Oh tidak! Aku mula terbayang sekujur tubuhku berada di dalam kain kafan, di kelilingi keluarga dan rakan-rakan yang kesemuanya sungguh tidak percaya dengan apa yang mereka dengar dan lihat - diriku yang telah kaku! Aku cuba buang bayangan tersebut, aku merayu pada Allah supaya panjangkan umurku, walau aku tahu jika ajal sudah ditetapkan, ia pasti akan berlaku juga. Itu janji Allah! Terbayang-bayang wajah kedua anakku yang masih kecil, masih sangat dahagakan kasih sayang mama mereka. Suamiku menunggu di pertengahan jalan, lalu aku dibawa dengan keretanya pula! Sebenarnya dalam perjalanan tersebut, kami ada singgah beberapa kali di beberapa klinik yang berdekatan - aku dah tak tahan sangat, penat pun yang teramat sangat. Aku boleh nampak mak aku yang sangat sangat sangat risau, sampai dia sendiri dah tak tahu nak buat apa. Masakan tidak, seluruh wajah dan tubuhku dah terasa semakin sejuk dan sangat pucat pada masa itu. Mulut dan hatiku tak sudah sudah mengucap, terasa itulah penghujung umurku...

Terasa agak lega apabila kereta yang dipandu suamiku akhirnya sampai di perkarangan hospital. Aku terus dibaringkan di katil dan doktor pasang entah alat apa aku tak nak ambik tahu pada masa tu. Itulah alat yang mengukur degupan jantungku - rupa-rupanya! Subhanallah! Patutlah aku terasa sangat penat, rupa-rupanya jantungku berdegup 210-240 kiraan seminit! Yang aku tahu degupan normal adalah antara 80-90 degupan/minit sahaja!

Dipendekkan cerita, aku dimasukkan ke hospital pantai, Sg Petani sebanyak dua kali dalam masa seminggu kerana masalah yang sama, dan aku telah MC selama hampir 2 bulan! Dan syukur pada Allah, selepas semua ujian yang dijalankan, doktor mengesahkan yang aku tidak mengalami sebarang masalah pada jantungku, juga dia sendiri tak pasti apa sebenarnya yang tidak kena dengan aku.

Juga dipendekkan cerita, keadaan aku yang lemah dan sekali sekala penat selepas dimasukkan ke hospital menyebabkan aku telah pergi ke beberapa hospital yang lain, dan akhirnya, aku direfer kepada satu-satunya doktor pakar psikologi di sebuah hospital swasta di Alor Setar. Di situ aku menemui jawapan kepada semua persoalan aku selama ini - aku mengalami tekanan emosi yang agak serius yang akhirnya menyebabkan serangan jantung tersebut. Ya Allah! Ini jawapan yang aku cari-cari? Doktor cakap orang seperti aku ini jenis yang memendam perasaan, perasaan yang dipendam itu pula tidak pernah dinyahkan, akhirnya merosakkan fungsi jantungku. Seserius itukah? Subhanallah!!!

I did remember banyak perkara/banyak jenis manusia yang menyebabkan aku sedih, marah dan geram. Aku selalu mengambil sikap sabar sabar sabar. Rupa-rupanya sabar pun kena ada caranya. Tak boleh sekadar  lihat, sabar dan akhirnya aku buat koleksi marah dan tak puas hati itu di dalam hatiku. Selepas bertahun mengumpul semua itu, aku dah tak tahu nak manage macam mana lagi yang menyebabkan ia akhirnya memberontak dan menyerang jantungku yang tidak bersalah itu.

Tetapi, sakit aku itu banyak mengajar aku, di mana aku pasti tidak akan fahaminya jika tidak mengalami sendiri. Aku tak akan faham kepentingan solat tahajud, istikharah dan dhuha, aku tidak akan faham kepentingan menjaga jiwa, aku tidak akan faham betapa sukarnya jalan ke syurga itu..

Aku kini akan sentiasa check tahap keceriaan aku pada setiap hari, aku buat apa yang aku rasakan aku nak buat pada masa tersebut - aku akan cari apa yang boleh membuatkan aku gembira - yang selalunya berakhir dengan - tambah satu lagi skincare - tambah satu lagi eyeliner - yang kebanyakan aku tak guna pun, huhu...Dan aku paling seronok review produk kecantikan, sebab tu banyak entry aku berkenaan skincare yang aku guna atau kosmetik yang aku baru cuba. Hehe...

Dan...rupa-rupanya blog yang aku setup ini banyak manfaat kepada aku, yang aku akan gunakan sebaik mungkin - akan aku masukkan semua perasaan geram, seronok, marah aku di sini. So, buat sesiapa yang aku kenal - yang tersinggah di sini, dan tiba-tiba terbaca entry yang terasa macam terkena batang hidung sendiri, aku minta maaf terlebih dahulu. This is my way to stay alive! Aku berjuang untuk hidup, tahu! Anda patut bersyukur aku tak marah-marah dan memaki hamun macam sesetengah orang buat di depan semua orang, yang aku buat hanyalah sekadar menulis di blog!

Masa ni time sakit - letih sangat, tak larat tapi alhamdulillah masih sempat sambut birthday Umar secara ala kadar





2 comments:

cahaya petunjuk said...

yatie,

don't take things too hard. life is never been easier to anybody except the one who always believe that ALLAH is with you for every moment.

take care dear sis!

Norhayati said...

thanks k nono..Doakan saya yer..