Kita selalu menganggap benda-benda yang mahal sebagai sangat berharga. Selalunya ia dianggap sebagai penanda aras bagi status seseorang individu.
Namun tanpa sedar, kita 'lupa' atau 'dilalaikan' dengan perkara-perkara lain yang indah-indah sehingga langsung terlupa tentang perkara ini - oksigen yang Allah beri untuk kita sedut setiap hari. Semua itu mempunyai nilai yang tidak terhingga terutama bagi mereka yang bakal kehilangannya. Pernahkah ada sesiapa yang dapat menceritakan pada kita bagaimana rasanya bila nyawa sedang berada di penghujung kerongkong? Tak ada rasanya. Kerana mereka pasti telah kaku untuk memerihalkan keadaan itu pada kita.
Kita takkan tahu nilai sesuatu itu sehinggalah kita kehilangan atau hampir kehilangannya. Di saat kita kehilangan sesuatu, kita akan merasakan oh! betapa tinggi nilai harganya, betapa sukar mendapatkannya. Walau ia diberi secara FOC setiap hari, tapi sekali dah hilang/rosak, memang langsung tiada warranty! Aneh kan.
10 Disember 2011, aku hampir kehilangan oksigen yang aku sedut setiap hari selama 32 tahun ini. Waktu itu, barulah aku tahu erti syukur yang sebenar. Barulah aku mengerti nilai 'nyawa' yang Allah 'pinjamkan' padaku. Betapa segala yang aku miliki, betapa yang ada padaku hatta tangan dan mataku, mulutku, juga sehelai rambut ini juga - segalanya milik Allah yang mutlak, milik Allah semata. Malunya aku, sedihnya aku, hinanya aku - tidak pernah merasa apa yang ada pada diri adalah harta pinjaman Allah paling berharga, terlalu berharga. Tidak pernah aku merasakan begitupun, tidak pernah sekali selama ini. Padaku, rumah, kereta, handphone, laptop, simpananku di bank, bla bla bla...itulah yang paling berharga. Aku lupa 'nilai' tertinggi yang Allah beri padaku - diriku sendiri, tanganku, kakiku, mataku, telingaku, hatiku, limpa, jantungku, NYAWAKU! Itulah yang paling paling paling bernilai sebenarnya. Sesuatu yang sangat bernilai tapi tidak pernah dipandang tinggi oleh aku sendiri - insan bernama manusia yang diberikan Allah semua itu - percuma sahaja! Betapa malunya aku, betapa rosaknya aku - tidak pernah menyedari perkara itu, sehinggalah datang suatu saat di mana Allah mengujiku, hampir tercabut nyawa dari jasad yang hina ini. Di saat itu, barulah aku dapat 'rasa' lemahnya aku tidak mampu berbuat apa-apa kerana segala yang ada padaku adalah pinjaman semata. Allah boleh ambil bila-bila masa dikehendakiNya samada manusia itu bersedia atau tidak. Kenapa? Kerana tidak ada satupun yang kita miliki adalah milik kita. Segalanya milik Allah. Milik Allah semata.
Di ketika nyawa terasa berada di hujung nyawa, kita tidak mahu lagi - rumah 3 tingkat walau luasnya 10000 kaki persegi sekalipun, kita tidak mahu lagi BMW - walau berapa series sekalipun, kita tidak lagi mahukan wang - walau berapa billion trillion RM sekalipun. Apa yang kita minta di saat itu - panjangkan umurku ya Allah, beri aku peluang untuk bernafas lagi di muka bumiMu ini ya Allah. Aku belum bersedia menghadapi alam kubur ya Allah, amalanku tidak cukup untuk ke sana ya Allah.....
Terima kasih ya Allah...tamparan dan cubitanMu menyedarkan aku apa tujuan hidup ini. Terima kasih ya Allah. Sesungguhnya memang benar - Engkaulah kekasih awal dan akhir.
No comments:
Post a Comment